Monday, December 19, 2011
------
Dicelah sang hati yang membakar pijar
Ku cari setitik tenang, sesudu dingin
Berbekal hamparan zikrullah usang
Yang sudah berzaman tidak ku hampar
Mungkin api diri membakar sombong
Meluap menyala membakar zaman
Nah ini lah aku,
datang kepada-Mu dengan hati yang rentung hitam
bersimpuh malu dihadapan Mu
Mengharap agar air mata yang jarang tertumpah ini
Ya, air mata yang barang setitik dua ini
Mampu membasuh berdekad berzaman dosa noda
Mengharap agar Kau hulur
Barang ada serpihan dari sayang Mu
Kerana hamba-Mu ini
Wahai Tuhan yang memiliki diri
Amat rindu tenang yang dulu
Yang pernah aku rasa ketika sujud bertahajud kepada-Mu
Mungkin terlalu sombong diri ini sekarang
Ampunkan lah karat-karat dosa yang berguni ini Tuhan
Belai lah aku dengan sayang-Mu
Saturday, September 10, 2011
-----------------------
Jika bisa ku racik merah-merah senja
Akan ambil buat selimut
Menemankan aku di dingin malam
Sementara menanti panggilan Ilahi
Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang,
Ini tanganku ini,
Pimpinlah aku pulang
Wahai Tuhan,
Di sini bukan rumahku
Panas bahang nya terik meluka
Manusia-manusianya tiada bermuka
Wahai Tuhan,
Sudah tiada lagi ruang dibelakang ku ini
Melainkan lebam dibalun dunia
Siapa yang peduli peritnya jiwa ini
Pimpinlah aku pulang
Kembali ke rumah asalku
Tidak sabar lagi untuk aku melangkah ke Firdaus-Mu
Wahai Tuhan, empunya segala kasihan
Pimpin lah tangan ku ini pulang
Sunday, March 06, 2011
Bersenja-senja di rumah Ilahi
------------------------------------------
bila bahu ini tak mampu lagi
mengusung beratnya bebanan dunia
mata ku merah dada ku sesak
menaggung resah mengatup bicara
sudah tidak keruan diri ku ini
siapalah yg akan peduli
insan kerdil ini yg tiada berpangkat tiada berpinggat
yg ada cuma hati yg tenggelam tangisnya di celah riuh sibuk sang dunia
lalu ku bawa diri
bersenja senja di rumah Ilahi
tiba tiba aku terasa istimewa
menjadi tetamu yg Maha Esa
tidak lah aku dihidangkan dengan minuman yg mahal lazat lagi dingin
tiada jua dedaging yg empuk
apatah lagi buah buahan yg enak, namun aku tenang.
yg ada cuma sebuah kolam wuduk tempat mencuci hati berdosa
yg ada cuma sejadah usang
tempat aku bersujud sambil mengadu segala duka
nah tuhan. tiba tiba bertiup angin sesepoi bahasa, terasa bagai terlepas segala beban. terasa putus segala rantaian
bersenja senja di rumah Ilahi
mencari secubit tenang di taufan dunia
aku bersyukur wahai Tuhan
sehina hina hamba mu ini yang di jiwa ku masih tidak puas dengan dosa
masih tidak tersentak pun dengan keingkaran. namun kau, di celah celah senja ini masih sudi membelai sujud ku dengan sakinah ketenangan
lalu di ribaan senja ini aku menangis
alangkah patuhnya sang senja
yg hidup nya tidak berapa lama
tunduk tulus perintah Tuhan nya
dan ini aku
kononnya manusia hebat membelah langit, rupa rupanya lebih hina dari senja merah ini
ampunkan aku wahai Tuhan pemilik jiwa dan senja