Monday, December 19, 2011
------
Dicelah sang hati yang membakar pijar
Ku cari setitik tenang, sesudu dingin
Berbekal hamparan zikrullah usang
Yang sudah berzaman tidak ku hampar
Mungkin api diri membakar sombong
Meluap menyala membakar zaman
Nah ini lah aku,
datang kepada-Mu dengan hati yang rentung hitam
bersimpuh malu dihadapan Mu
Mengharap agar air mata yang jarang tertumpah ini
Ya, air mata yang barang setitik dua ini
Mampu membasuh berdekad berzaman dosa noda
Mengharap agar Kau hulur
Barang ada serpihan dari sayang Mu
Kerana hamba-Mu ini
Wahai Tuhan yang memiliki diri
Amat rindu tenang yang dulu
Yang pernah aku rasa ketika sujud bertahajud kepada-Mu
Mungkin terlalu sombong diri ini sekarang
Ampunkan lah karat-karat dosa yang berguni ini Tuhan
Belai lah aku dengan sayang-Mu
Saturday, September 10, 2011
-----------------------
Jika bisa ku racik merah-merah senja
Akan ambil buat selimut
Menemankan aku di dingin malam
Sementara menanti panggilan Ilahi
Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang,
Ini tanganku ini,
Pimpinlah aku pulang
Wahai Tuhan,
Di sini bukan rumahku
Panas bahang nya terik meluka
Manusia-manusianya tiada bermuka
Wahai Tuhan,
Sudah tiada lagi ruang dibelakang ku ini
Melainkan lebam dibalun dunia
Siapa yang peduli peritnya jiwa ini
Pimpinlah aku pulang
Kembali ke rumah asalku
Tidak sabar lagi untuk aku melangkah ke Firdaus-Mu
Wahai Tuhan, empunya segala kasihan
Pimpin lah tangan ku ini pulang
Sunday, March 06, 2011
Bersenja-senja di rumah Ilahi
------------------------------------------
bila bahu ini tak mampu lagi
mengusung beratnya bebanan dunia
mata ku merah dada ku sesak
menaggung resah mengatup bicara
sudah tidak keruan diri ku ini
siapalah yg akan peduli
insan kerdil ini yg tiada berpangkat tiada berpinggat
yg ada cuma hati yg tenggelam tangisnya di celah riuh sibuk sang dunia
lalu ku bawa diri
bersenja senja di rumah Ilahi
tiba tiba aku terasa istimewa
menjadi tetamu yg Maha Esa
tidak lah aku dihidangkan dengan minuman yg mahal lazat lagi dingin
tiada jua dedaging yg empuk
apatah lagi buah buahan yg enak, namun aku tenang.
yg ada cuma sebuah kolam wuduk tempat mencuci hati berdosa
yg ada cuma sejadah usang
tempat aku bersujud sambil mengadu segala duka
nah tuhan. tiba tiba bertiup angin sesepoi bahasa, terasa bagai terlepas segala beban. terasa putus segala rantaian
bersenja senja di rumah Ilahi
mencari secubit tenang di taufan dunia
aku bersyukur wahai Tuhan
sehina hina hamba mu ini yang di jiwa ku masih tidak puas dengan dosa
masih tidak tersentak pun dengan keingkaran. namun kau, di celah celah senja ini masih sudi membelai sujud ku dengan sakinah ketenangan
lalu di ribaan senja ini aku menangis
alangkah patuhnya sang senja
yg hidup nya tidak berapa lama
tunduk tulus perintah Tuhan nya
dan ini aku
kononnya manusia hebat membelah langit, rupa rupanya lebih hina dari senja merah ini
ampunkan aku wahai Tuhan pemilik jiwa dan senja
Saturday, December 11, 2010
======
Kalau masih belum lagi aku jeritkan
Segala jerih dan pedih hati ini
Maka dengarkan lah wahai Tuhan
Jeritanku ini
Yang hanya mampu aku teriakkan
dengan saratnya seeping hati
dengan panasnya sang air mata
dengan gelengan gelengan sepi seorang hamba
Yang sesebak mana pun hatinya
Belum mampu lagi menjerit
Kerana sudah tentunya
Manusia disekitarnya akan bersahaja menyuruhnya diam
Pendamkan sahaja perit itu
Biar ia memamah meratah barang secebis senyum yang masih boleh diukir
Apakah tiada lembah yang mahu mendengar cerita ku ini
Apakah tiada lagi gunung yang mampu ku teriakkan rasa yang membungkamkan hati
Mujur lah, Engkau wahai Tuhan
Maha Mendengar segala derita, jerih perih, perit sedih sang hati ini
Aku tahu bahawa siapalah aku untuk kau peduli
Namun aku sudah putus harap dengan manusia
putus harap dengan perkasa sang gunung
putus harap dengan luas sang lembah
Aku kini hanya ada Engkau
Terimalah aku wahai Tuhan dengan segala hati yang membungkam gelap dengan derita ini
Tidak kupinta selain barang cebis cebis dari redha Mu
Agar sekurang kurangnya
Putuslah beban hati yang tidak lagi ku tertanggung ini
Saturday, May 02, 2009
====================
Insan itu yang bernama Muhammad
Semulia mulia insan
Betapa menjadi kekasih Tuhan
Berjalannya ia dinaungi awan
Kelak di mahsyar nanti
Betapa Tuhan tidak boleh melihat Muhammad meminta
Belum pun dahi mencecah bumi
Buat bersujud memohon syafaat
Sudah diperintahkan bangun oleh Tuhan
Kerana doanya telah dimakbulkan
Itulah insan bernama Muhammad
Namun sehebat-hebat Muhammad
Kekasih Tuhan diangkat kelangit
Betapa sebelum mengadap-Nya
Hati dibedah dan dibasuh cuci
Dan nah, ini aku
seorang pengemis di serambi Tuhan
Mengemis barang sisa-sisa redhanya
Apakah kusangka dapat ku mengadap Tuhan
tanpa hati ini dicuci dengan ujian
Sinis sungguh
Apabila hati Muhammad hanya perlu dibasuh dengan air
Dan sucilah ia
Sedangkan hati ku ini
Sudah bergunung ujian Ilahi
Namun sudah resmi pengemis hina
Sesudah diuji begini pon masih tak layak adanya
Wahai Tuhan yang punya segala
Tidaklah ku pantas meminta duduk disebelah kekasih-Mu
Cukuplah, kalau dapat ku rasa barang sisa-sisa dari redha-Mu
Cukuplah, kalau sesekali, dari celah hidupku
yang masih belum suci dengan ujian-Mu
Dapat ku intai, barang kerdip-kerdip dari syurga-Mu
Saturday, December 06, 2008
=====================
Mungkin ini rasanya
Bila hati mula berkecai
Sudah berpurnama retak nya menjalar
Aku masih tidak percaya
Sampailah luluh kepingan hati, bersama air mata
Baru ku sedar hati ini sudah mula hancur
Baru ku rasa betapa sesaknya dada ini
Baru ku endah, sejuknya pipi dek air mata yang pergi
Namun sudah terlambat, hati ini sudah berkecai
Mana mungkin ku ulang masa yang lalu
Betapa dekat itu tak bermakna sampai
Betapa wangi itu mungkin akhirnya layu
Inilah aku wahai Tuhan
Berlutut di medan ini
Menerima kekalahan yang mungkin selayaknya untukku
Betapa aku tak mampu lagi
Menahan barang sakit dan duka di hati ini
Betapa disebalik segala kekuatan ku dan segala pengharapanku
Bak gula sesudu,
Cuba memaniskan selautan air dari takdir-Mu
Ah, betapa baru ku faham
Aku memang tak mampu dari mulanya lagi
Dan semua ini tidak lain dari Engkau menunjukkan kedaulatan kuasa-Mu ke atas ku
Yang cuma mampu menangisi hati yang hancur ini
Wahai Tuhan yang punya setiap kudrat dalam diri ini
Betapa aku sedar, aku cuma kain buruk menanti hari
Kalau kesimpang-kesimpanglah aku
Ku pohon pengampunan-Mu dari kelemahan diri ini
Mungkin tak layak untuk aku memiliki hati ini
Thursday, November 06, 2008
========
Keluk-keluk sungai deras ini sudah jadi biasa
Bau darah dan air mata yang bertatah di tebing-tebingnya
Sudah jadi alpa di mata
Batu-batu tajam menusuk meluka tiap inci kaki kecil ini
Sudah tidak terasa lagi
Sudah bertahun rasanya aku lalui sungai perit ini
Sehari demi sehari memandang sayup-sayup ke hadapan
Rasa-rasanya muara sungai sudah pun sampai.
Dapatlah aku berehat buat seketika
Buat mengukir barang seutas senyum
Buat meneguk barang secakir tenang
Tiba nya aku ke muara
Baru ku sedar lautan api yang ganas sedang menanti
Bahang nya mencair segala mimpi
Bukan lagi sekadar arus deras sebuah sungai usang
Kini ombak menggunung perlu bertatahkan api
Apalah sangat luka-luka kecil di kaki,
Sedangkan lautan ini, mungkin patah riuk tulang belulang ku nanti
Tersipuh aku di pantai berdarah
Tak mampu lagi aku berdiri,
Segagah-gagah sang diri ini, mampukah ku harungi lautan berduri?
Wahai Tuhan yang punya simpati
Sudah penat hamba-Mu berlari, ke kiri ke kanan mencari erti
Tapi hamba-Mu ini lemah dan kerdil, tiada lagi kudrat di tangan, tiada lagi tenaga di kaki
Tuhan, hamba-Mu penat, berjuang tiada henti-henti,
dari sungai darah ke lautan api.
Wahai Tuhan,
tidaklah layak diri ini memohon dari-Mu
Yang punya Keagungan dari segala Keagungan
Yang punya Kehebatan dari segala kehebatan
Sedangkan yang ingin kupersembahkan hanyalah sekeping hati kotor, usang, lusuh bersawangkan dosa, terkulai berbalut sepi
Namun Tuhan, bahang lautan ganas ini tak mampu ku tahan lagi
Apakah kiranya ada barang perca dari simpati
Tidaklah ku minta agar kau belah lautan ini seperti kau belah laut merah buat seorang Nabi
Mungkin cukup agar kau teguhkan hati ini,
agar, jika terbakar pun kulit dan tulang belulang, biarlah hatiku teguh berdiri
Mungkin dengan berkat kasih sayang-Mu, akan hanyut juga ia ke pantai hakiki
Monday, September 29, 2008
Tika lebaran ini
mengapa saljunya lebih dingin?
Mengapa anginnya lebih mencengkam?
Mengapa hawanya lebih pedih?
Mungkin kerana, tika ini
Saljunya bernama rindu
Anginnya bernama sepi
Hawanya bernama sunyi
Lalu aku berteleku di permaidani empat wajah ini
Bersama simfoni takbir
Ku anyam jejurai mimpi
Ku sulam lebaran cita
Ku pintal bebenang sabar
Agar dapat ku hampar selimut ketabahan
Buat menghangat jiwa sunyi ini
Buat menahan dingin salju rindu
Buat memanas diri dari hawa sunyi
Akan aku tetap di sini, kerana di sini
ada takar perlu di si
ada janji perlu di kota
ada maruah perlu di bela